Siang di Nepal, malam di Tibet
Oleh Hayati Ibrahim
Sepang: “Sepanjang 20 minit di puncak Gunung Everest saya dapat menyaksikan kekuasaan Allah dengan melihat kejadian siang dan malam pada satu masa iaitu siang di Nepal dan malam di Tibet,” kata Siti Hanisah Sharudin, 23, yang menjadi pendaki wanita termuda ekspedisi Everest FELDA 2013 ketika berkongsi pengalamannya sampai ke puncak tertinggi dunia itu pada 23 Mei lalu.
Menurutnya, pengalaman berada di puncak sukar digambarkan dan dia hanya mampu mengucapkan kalimah Maha Suci Allah apabila melihat keindahan dunia dari ketinggian 8,848 meter itu.
“Saya tidak boleh lama di puncak kerana cuaca tidak baik selain angin kuat, namun saya amat terharu kerana susah payah dan latihan keras selama berbulan-bulan terbalas sebaik tiba di puncak.
“Saya memang membawa semangat bapa, Sharuddin Ahmad, 57, dan ibu, Rubiah Abdul Rahman, 52, sepanjang mendaki hingga ke puncak kerana nama mereka saja yang saya ingat selain selalu menyebut kalimah Allah,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam kelmarin.
Siti Hanisah yang juga ketua pendaki berkata, kegagalan sampai ke puncak bersama rakan pada 21 Mei lalu memberi semangat kepadanya untuk tidak berputus asa dalam usaha mencipta sejarah.
“Kita memang sudah ada perancangan kalau cubaan pertama gagal, kita akan cuba kali kedua memandangkan cuaca baik sehingga 25 Mei, jadi saya turun dulu.
“Ini kerana kami mahu mengumpul tenaga dan memulihkan diri sebelum membuat cubaan kedua, Alhamdulillah saya berjaya walaupun lewat dua hari daripada rakan lain,” katanya yang hilang berat badan lapan kilogram (kg) selepas ekspedisi dan latihan pendakian.
Anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, sebaik tiba di puncak dia menggunakan ‘walkie talkie’ untuk berhubung dengan jurulatih dan rakan di kem induk.
Menurutnya, mereka yang memaklumkan perkembangan dirinya kepada ibu dan bapa di kampung kerana dia mengambil masa lama untuk turun ke kem induk.
Sementara itu, bagi Myrza Fasha Md Hamyrudin, 25, dari Felda Tersang 3, Raub, Pahang, dia yakin mampu menawan puncak Everest selepas menjalani latihan sejak tahun lalu sebagai persediaan.
“Saya cuma berharap kesihatan dan cuaca baik. Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya sampai. Keluarga banyak memberi sokongan dan inilah waktunya saya membuktikan wanita juga mampu melakukan aktiviti mencabar ini,” katanya.
Jumpa mayat beku sepanjang pendakian
Sepang: “Kita pasti jumpa di puncak selagi tiada masalah kesihatan atau cuaca.” Kata-kata dua jurulatih itu menjadi ungkapan azimat kepada lima anak FELDA sepanjang pendakian untuk menawan puncak tertinggi dunia pada ekspedisi Everest FELDA 2013, Mei lalu.
Jurulatih Zainuddin Lot, 37, dan Muhammad Illaham Ishak, 37, sentiasa meniupkan semangat dan memberikan sokongan moral kepada kelima-lima anak muda itu supaya tidak putus asa dan berusaha menamatkan ekspedisi dengan berjaya.
Zainuddin berkata, dia cukup bangga kerana semangat semua peserta berada di tahap tertinggi dan sentiasa konsisten sehingga hari terakhir sebelum ke puncak.
“Kejayaan ini hasil perancangan dan strategi yang dilaksanakan. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan laluan kami sampai ke puncak.
“Kejayaan ini hasil perancangan dan strategi yang dilaksanakan. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan laluan kami sampai ke puncak.
“Malah, beberapa pendaki menangis terharu sebaik tiba di puncak, selain mimik muka yang menunjukkan kepuasan tidak terhingga,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam kelmarin.
Rombongan tujuh pendaki itu tiba jam 7.20 malam dari Kathmandu, Nepal dan disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad serta ahli keluarga dan ahli persatuan pendaki gunung negara.
Zainuddin berkata, dia bangga kerana semua peserta tidak gentar walaupun sepanjang pendakian mereka melihat mayat beku yang dalam keadaan tidak sempurna termasuk terlipat selain terpaksa menggunakan tali merentasi mayat itu.
Menurutnya, mereka juga tidak putus-putus memberi semangat kepada ketua pendaki Siti Hanisah Sharudin, 23, yang gagal ke puncak bersama kumpulan pertama.
“Kita sudah mempunyai perancangan, jika ada pendaki tidak larat atau mengalami masalah, kita nasihatkan supaya mereka berehat dulu sebelum meneruskan cubaan kali kedua,” katanya.
Sementara itu, Mohd Isa berkata, kejayaan lima anak FELDA menakluk puncak Everest membuktikan semangat waja dan kehebatan mereka walaupun masih muda.
“Usaha mereka amat disokong FELDA kerana bukan saja mencipta rekod, tetapi usaha itu lebih baik daripada mereka melalak atau mengadakan demonstrasi jalanan yang tidak memberi faedah sebaliknya menyusahkan orang ramai.
“Kami harap semua wira dan wirawati ini dibawa bertemu generasi baru FELDA untuk berkongsi pengalaman dan pahit maung sepanjang menyertai ekspedisi sebagai panduan kepada mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment