AirAsia Japan, All Nippon Airways berbeza pendapat
Kuala Lumpur: AirAsia Berhad, syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka ada kemungkinan akan keluar daripada usaha sama (JV) yang sudah menjangkau dua tahun dengan All Nippon Airways dalam AirAsia Japan disebabkan perbezaan pendapat dalam pengurusan syarikat penerbangan baru itu.
AirAsia dalam kenyataannya berkata, perbezaan yang sangat kritikal membabitkan cara mengurus perniagaan tambang rendah dan operasi dari Narita, lapangan terbang utama Jepun.
Berikutan itu, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata ia ‘tidak menolak sebarang opsyen, termasuk pembubaran JV’ yang dijalin pada Ogos 2011.
“Bagaimanapun, AirAsia masih yakin dan komited terhadap Jepun dan melihat potensi besar syarikat penerbangan tambang rendah ini berjaya dalam pasaran serta tidak menolak sebarang opsyen untuk menjayakannya, termasuk membubarkan usaha sama itu,” katanya.
AirAsia berkata, pasukan pengurusan AirAsia Japan sebahagian besarnya membabitkan petugas ANA sebagai permulaan, namun tidak terhad kepada ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai kewangan.
“Sejak dilancarkan pada 2012, AirAsia Japan gagal mengikuti pelan perniagaan yang dicadangkan berikutan ketidakupayaan mengurus kos, namun melihat penerimaan pelanggan yang semakin meningkat berikutan jenama itu mula menonjol,” katanya.
AirAsia berkata, pihak yang berkaitan kini meneroka semua pilihan sedia ada dan sebarang keputusan akan tertakluk kepada kelulusan korporat ANA dan AirAsia Bhd.
No comments:
Post a Comment