Ombak makan dua nyawa
Oleh Mohd Khidir Zakaria
Port Dickson: “Walaupun panik melihat sepupu dan adik dihanyutkan arus deras, saya mampu menjerit meminta tolong sebelum seorang lelaki terjun ke laut dan berenang bagi menyelamatkan mereka.
“Disebabkan ombak terlalu kuat, lelaki itu kembali ke pantai dan mengambil jet ski bersama dua rakannya sebelum berjaya membawa sepupu ke darat, manakala adik masih gagal dikesan sehingga sekarang,” kata Nor Humaira Herry, 17, semalam.
Dia menceritakan insiden adik perempuan, Sofrina Husna, 11, dan sepupunya, Mohamad Khairul Afrizal, 13, lemas ketika mandi di Pantai 3, Telok Kemang, di sini, petang kelmarin.
Kejadian berkenaan berlaku kurang dua jam selepas mayat pembantu sambilan bot pelancong, Mohd Syahir Hashim, 35, ditemui terapung, selepas terjatuh dari ‘banana boat’ akibat dipukul ombak berhampiran Pantai Cahaya Batu 4, di sini.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Mohamad Khairul sempat diselamatkan pengusaha bot pelancong, Mohd Azhar Idris, 21, namun disahkan mati oleh doktor di Hospital Port Dickson (HPD), manakala Sofrina Husna masih hilang dan operasi mencarinya masih dilakukan.
Menurut Nor Humaira, ketika kejadian, adik bongsunya sedang mandi bersama beberapa ahli keluarga dan pengunjung lain sebelum berlaku ombak besar disusuli angin kencang.
Katanya, dia bersama beberapa ahli keluarga dari Sungai Ramal Baru, Kajang, Selangor, menaiki empat kenderaan ke Port Dickson untuk mandi laut.
“Kejadian sedih ini amat tidak diduga dan harapan saya adik segera ditemui oleh pasukan penyelamat. “Adik seorang yang aktif di sekolah dan sering mewakili sekolah dalam sukan hoki dan olahraga. Kami hanya tiga beradik perempuan dan dia anak bongsu,” katanya.
Sementara itu, bapa Mohamad Khairul, Afrizal Muslim Nazir, 43, berkata, dia sekeluarga reda dengan takdir menimpa dan berterima kasih kepada orang awam yang turut membantu.
Katanya, jenazah anak ketiga daripada lima beradik itu dibawa ke Kajang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kajang.
Sementara itu, Mohd Azhar berkata, sebaik terdengar jeritan memaklumkan ada orang lemas, dia hanya terfikir untuk menyelamatkan mangsa dan bergegas ke laut.
“Selepas gagal menarik tangan kanak-kanak itu kerana ombak kuat saya bersama dua rakan menaiki jet ski untuk menyelamatkannya.
“Ketika itu saya lihat tangannya (Mohamad Khairul) tenggelam timbul dan dapat menarik dan mendukungnya ke atas jet ski lalu membawa ke darat.
“Anggota bomba yang tiba kemudian memberikan bantuan kecemasan dengan melakukan bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum dihantar ke HPD dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM),” katanya. Penguasa Bomba, Ahmad Nizam Sapaiee berkata, pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan operasi pada jam 5 petang kejadian sebelum dihentikan jam 8 malam kelmarin.
“Operasi mencari disambung hari ini (semalam) bermula jam 7.30 pagi dengan Skuad Menyelam Bomba dan akan diteruskan hingga mangsa ditemui,” katanya.
Turut berada di tempat kejadian, Exco Pelancongan Tun Hairuddin Abu Bakar dan Pengarah Bomba Negeri Sembilan Penolong Kanan Pesuruhanjaya Bomba Norazam Khamis
No comments:
Post a Comment