Sasar 40,000 penumpang Subang-Kota Bharu
Oleh Gaddafi Musli
Subang: Malindo Air, penerbangan hibrid pertama negara, menyasarkan 40,000 penumpang bagi laluan domestik Subang-Kota Bharu menjelang hujung tahun ini berdasarkan sambutan menggalakkan pada penerbangan sulung dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), di sini, semalam.
Ketua Perhubungan dan Jualan Korporatnya, Raja Sa’adi Raja Amrin berkata, sasaran itu berdasarkan anggaran 90 peratus kapasiti penumpang yang dijangka akan menggunakan perkhidmatan itu kelak.
“Laluan Subang ke Kota Bharu dijangka menjadi laluan paling popular terutama menjelang musim perayaan dan penerbangan akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memenuhi permintaan penumpang,” katanya semasa penerbangan sulung Subang-Kota Bharu, di sini, semalam.
Selain itu, Malindo Air turut melakukan penerbangan sulung ke Pulau Pinang (PP) semalam, manakala laluan ke Johor Bahru (JB) hanya akan bermula 7 Jun depan.
Penerbangan harian menggunakan pesawat Turboprop ATR72-600 dijadual sebanyak tiga kali sehari bagi destinasi Kota Bharu, dua kali sehari bagi Pulau Pinang dan sekali sehari ke Johor Bahru.
Harga promosi bermula RM69 (termasuk surcaj) sehala ke Pulau Pinang dan Johor Bahru, manakala RM79 (termasuk surcaj) sehala ke Kota Bharu.
Raja Sa’adi berkata, Malindo Air berharap dapat meningkatkan kekerapan penerbangan pada masa depan serta memperkenalkan laluan penerbangan destinasi lain seperti Langkawi dan Terengganu, malah ke Singapura dan India.
No comments:
Post a Comment