Jenazah dijangka dibawa balik hari ini
Oleh Siti A’isyah Sukaimi
Putrajaya: Jenazah Allahyarham Mohamad Shahrulnizam Ahmad Nazari, pendaki Perbadanan Putrajaya (PPj) yang meninggal dunia kelmarin dipercayai akibat penyakit akut gunung (AMS) dalam Ekspedisi Kem Induk Everest (EBC) dan Kala Patthar di Banjaran Himalaya, Nepal, Isnin lalu dijangka dihantar pulang ke tanah air hari ini.
Timbalan Pengarah Kanan Pehubungan Awam PPj Zaharah Selamat berkata, jenazah berjaya dibawa ke Lukla, kelmarin pada jam 3 petang waktu tempatan (5.15 petang waktu Malaysia) bagaimanapun tidak dapat diterbangkan ke Kathmandu berikutan cuaca berkabus serta pergerakan trafik udara terbatas kerana kedudukan kawasan itu berada di lereng bukit.
“Sekiranya jenazah selamat sampai ke Kathmandu hari ini (semalam) penghantaran pulang Allahyarham dapat dilaksanakan pada 6 Jun (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan mendapatkan penerbangan alternatif sekiranya usaha menghantar jenazah menggunakan penerbangan MAS yang dijadualkan jam 12.20 tengah hari ini tidak berjaya.
“Sementara itu, 13 lagi peserta ekspedisi ini dilaporkan berada di laluan turun di kawasan Dingboche berhampiran Periche,” katanya.
Akhbar semalam melaporkan, Mohammad Shahrulnizam, 25, seorang daripada 14 kakitangan PPj terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita mewakili Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan PPj (KRISputra) meninggal dunia akibat AMS, Isnin lalu.
Dalam ekspedisi bermula 27 Mei itu, Allahyarham meninggal dunia jam 7.15 malam (waktu Malaysia) selepas usaha membawa mangsa mendapatkan rawatan gagal kerana cuaca buruk dengan awan tebal menghalang penerbangan helikopter ke lokasi manakala klinik perubatan terdekat di Pheriche ditutup kerana musim pendakian utama sudah tamat.
Susulan insiden itu, semua pendaki membatalkan rancangan ke Kem Induk Everest dan pada masa sama selamat tiba di Lobuche.
No comments:
Post a Comment