Lokasi baru TUDM
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GEMAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam merungkai semua persoalan mengenai lokasi baru Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bakal dibina di sekitar Sendayan, Negeri Sembilan.
Beliau berkata, fasiliti ketenteraan terbaru itu bertujuan menggantikan Pangkalan TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur, yang bakal ditutup.
“Bagaimanapun, penjelasan terperinci mengenai pemindahan itu hanya akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PMP) di Kem Syed Sirajuddin, di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sebelum ini, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud mengumumkan penutupan Pangkalan TUDM Sungai Besi dan sebuah pangkalan baru akan dibina untuk menempatkan unit latihan.
Jika diarah berpindah, segala aset ketumbukan itu, termasuk ibu pejabat dan pesawat yang kini berada di pangkalan terbabit, akan dipindahkan ke Pangkalan TUDM Subang atau pangkalan lain bersesuaian.
Sendayan yang terletak 15 kilometer dari Seremban sebelum ini pernah dicadangkan sebagai lokasi baru Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) untuk syarikat penerbangan Air Asia, namun dipindahkan bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.
Sementara itu, dalam perkara berasingan, Najib berkata, PMP berupaya membantu pemulihan banduan, terutama tekanan psikologi, selain dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
“Ia berbeza berbanding di penjara apabila anggota keluarga yang datang melawat banduan hanya dapat melihat wajah dan bercakap melalui telefon. Namun, di sini (PMP), mereka dapat duduk semeja dan memegang tangan seperti yang saya lihat ketika melawat PMP di Kluang, Mac lalu.
“PMP turut mengubah pendekatan pemulihan banduan yang tidak lagi menekankan hukuman, tetapi menjadikan mereka insaf dan dapat memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara apabila keluar kelak,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan PMP adalah bukti kejayaan kerjasama antara kementerian yang sebelum ini sukar dilakukan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment