Tuesday, June 11, 2013

syabas MALINDO... missed u so much ;)

Malindo lebar sayap

Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor
Sibu: Malindo Airlines, syarikat penerbangan hibrid Malaysia menyasarkan untuk menguasai lima dan lapan peratus pasaran penerbangan tambang murah yang bakal beroperasi di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy berkata, keyakinan itu hasil prestasi yang mampu menjalankan operasi di timur Semenanjung Malaysia pada bulan ini, selain keupayaannya membuka laluan baru ke India dan China pada suku ketiga 2013. “Hari ini (semalam) adalah penerbangan pertama ke Sibu, Sarawak dan ini langkah agresif syarikat yang akan menyaksikan satu penerbangan dua hala destinasi ini setiap hari sebelum diperluaskan kepada tiga kali sehari pada suku pertama 2014.

“Masih terlalu awal untuk menyentuh mengenai keseluruhan pegangan pasaran kita kerana operasi baru bermula dua bulan setengah, namun pada penghujung tahun ini, 12 pesawat Boeing 737-900ER akan beroperasi sepenuhnya di bawah Malindo Airlines bersama enam ATR72-600,” katanya pada sidang media sejurus selepas penerbangan sulung itu tiba di Lapangan Terbang Sibu, Sarawak, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua Sarawak dan Pembangunan Komuniti, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Pengarah Ordnance Sdn Bhd, Datuk Ed Sullaiman Ahmad.

Chandran berkata, selain itu, dorongan prestasi itu juga disumbangkan laluan ke Terengganu, Alor Setar dan Langkawi, Kedah selain penambahan pesawat untuk Kota Bharu, Kelantan, Johor Bahru dan Pulau Pinang memandangkan dua pesawat ATR72-600 akan tiba terlebih dulu pada 29 Julai ini.

“Selain itu, ia turut didorong penerbangan luar negara menggunakan pesawat Boeing 737-900ER ke pelbagai destinasi di India termasuk New Delhi, Cochin, dan Trichy pada Ogos selain laluan ke China merangkumi perjalanan ke Hong Kong dan Guangzhou,” katanya.
Menurutnya, Malindo menyasarkan seramai tiga juta penumpang pada penghujung tahun depan berdasarkan kapasiti keseluruhan pesawat yang akan mencapai 24 unit bagi keseluruhan operasi termasuk pengenalan laluan dua hala dari Sibu ke Kota Kinabalu pada suku pertama 2014. Pada masa sama, pihaknya optimis dapat melaksanakan perancangan untuk menembusi ruang udara Australia, Asia Barat, dan Asia Utara menggunakan tiga pesawat Boeing 787-8 Dreamliner pada 2015.

“Kita yakin dengan keputusan menguasai pasaran India, China, Australia, Asia Barat dan Asia Utara dengan keupayaan kos penyelenggaraan yang rendah serta kualiti produk perkhidmatan kita,” katanya.
Katanya, beliau mahu mengekalkan purata penumpang bagi setiap penerbangan antara 80 hingga 85 peratus dan ia dijadikan penanda aras kepada kebergantungan pengguna pada produknya yang bukan semata-mata berasaskan jumlah penerbangan yang ditawarkan setiap hari.

Sementara itu, Wong mencadangkan supaya syarikat itu membuka laluan penerbangan dua hala dari Sibu ke Foochow, China dan ke Singapura yang dilihat menepati kehendak pasaran penduduk setempat, sekali gus mencapai sasaran 4.5 juta pelancong luar ke negeri ini pada penghujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment