Bawa ibu bapa tunai umrah tanda syukur
Putrajaya: Ketua pendaki ekspedisi Everest FELDA 2013 Siti Hanisah Sharudin berhasrat mahu membawa kedua ibu bapanya menunaikan umrah sebagai tanda syukur dan terima kasih di atas sokongan serta doa mereka sepanjang dia menjayakan misi menakluk puncak tertinggi dunia itu.
Siti Hanisah, 23, berkata tanpa berkat doa dan sokongan kedua ibu bapanya, sukar baginya untuk membayangkan cabaran yang perlu ditempuh sepanjang ekspedisi berkenaan.
“Saya sendiri tidak menjangkakan mampu berada di puncak tertinggi dunia, tetapi ini membuktikan anak FELDA juga mampu mencipta sejarah,” katanya yang ditemui selepas menerima insentif RM50,000 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Projek Everest FELDA 2013, di sini, semalam.
Hanisah menakluk puncak Everest pada 23 Mei lalu berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak membantu menjayakan misi itu terutama kedua ibu bapanya yang tidak putus-putus mendoakan kejayaannya.
Rakannya, Mohd Nasuha Shamsudin, 21, dari Felda Tersang 3, Raub, Pahang pula bercadang menggunakan wang insentif itu untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.
“Saya masih belajar di peringkat diploma dalam jurusan Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, jadi wang ini boleh membantu saya menyambung pelajaran.ke peringkat seterusnya.
“InsyaAllah saya juga akan menggunakannya untuk membawa kedua ibu bapa saya menunaikan umrah nanti,” katanya yang tiba di puncak Everest pada 21 Mei lalu.
Sementara itu, Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia Muhamad Muqharabbin Mohktaruddin berkata, projek seterusnya ialah merentasi Greenland sejauh 520 kilometer (km) yang memakan masa sebulan.
“Ia sebagai persediaan untuk projek merentasi Kutub Utara dan Kutub Selatan, namun cabaran di Greenland sangat hebat kerana suhu di sana boleh mencecah di bawah paras beku antara -20 hingga -40 darjah selsius.
“Misi ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan latihan akan dimulakan selepas Aidilfitri nanti,” katanya.
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2013/6/8/nation/13213819&sec=nation
https://www.facebook.com/pages/KE7B-Everest-FELDA-2013/424621554296408?fref=ts
No comments:
Post a Comment