Desaru Coast dijangka siap jelang 2015
Kuala Lumpur: Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd (DRH), anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd menjangkakan projek destinasi pelancongan di bawah portfolionya iaitu Desaru Coast akan siap menjelang 2015.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Eddy Leong berkata, projek berkenaan yang sedang giat dijalankan kini merangkumi pembinaan empat buah hotel, dua taman tema, 5,000 kediaman, dua padang golf serta satu institusi pengajian berkaitan pelancongan dan hospitaliti.
“Projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi dan ia juga akan menempatkan lokasi membeli-belah yang berbeza dikenali sebagai River Walk dengan konsep perniagaan dalam resort,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.
Menurutnya, selain lokasi membeli-belah, Desaru Coast turut akan memuatkan dua taman tema yang akan diumumkan lebih lanjut kelak,” katanya.
Menurutnya, institusi pengajian yang akan dibina di sana iaitu Taylor's College akan menawarkan kursus hospitaliti, seni kulinari dan pelancongan yang mampu menawarkan 3,500 peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan kolej berkenaan.
“River Walk sebagai contoh adalah antara lokasi unik yang akan diketengahkan untuk menyuntik kelainan berbanding kebanyakan pusat beli-belah yang ada di Malaysia,” katanya.
Desaru Coast dijangka berpotensi menarik sehingga satu juta pengunjung setahun dan mewujudkan lebih 3,500 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun. Projek Desaru Coast membabitkan tiga fasa dengan keluasan keseluruhan 1,578.2 hektar. Fasa pertama berkeluasan 607 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM5 bilion.
Dalam pada itu, Leong berkata, buat masa ini pihaknya akan memberi fokus kepada tiga projek utama di bawah DRH iaitu Desaru Coast; Pulau Datai, Langkawi serta Little Red Cube dan Hotel Traders di Puteri Harbour.
No comments:
Post a Comment